"Kemampuan skuad Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019 Perak tidak semantap tahun lalu."

Itu pandangan pemerhati pasukan itu yang meragui kemampuan naib juara tahun lalu itu selepas mengharungi dua perlawanan.

Perak membuka kempen dengan kekalahan 0-5 kepada Selangor di Shah Alam, diikuti seri 3-3 dengan Kedah di Ipoh, tiga hari lalu.

Ketika menentang Kedah, Perak mendahului 3-0 satu ketika tetapi gagal mempertahankan kelebihan dimiliki.

"Corak permainan tidak sama seperti tahun lalu. Persefahaman masih longgar," kata seorang peminat yang enggan namanya disiarkan.

Justeru, dia meragui kemampuan Perak untuk menjadi pencabar utama kejuaraan dalam kejohanan yang disertai lapan pasukan itu.

Menurutnya, usaha perlu dilakukan oleh pengurusan pasukan untuk memperbaiki kelemahan dan kepincangan pasukan.

"Pengurusan pasukan kena tengok apa yang berlaku dalam pasukan. Perak mempunyai pasukan berwibawa tetapi malangnya tidak dikendalikan dengan betul."

Perlawanan Perak seterusnya ialah menentang Kuala Lumpur di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, esok.