Perak sasar muncul juara Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019 bermula Sabtu ini.

Pengurus pasukan, Wan Fadzli Izam Wan Zulkifli, yakin sasaran itu mampu dicapai kerana Perak mengekalkan 80 peratus pemain tahun lepas ketika muncul naib juara.

Menurutnya, Perak diperkuatkan dengan empat pemain kebangsaan.

"Sebenarnya, peluang setiap pasukan tahun ni adalah sama rata sebab semua pasukan membuat persediaan rapi bagi menghadapi liga sembilan pasukan itu yang dijalankan secara dua pusingan.

"Kelebihan Perak ialah mengekalkan majoriti pemain musim lalu manakala pasukan lain menggunakan khidmat ramai pemain baru," katanya.

Wan Fadzli menjangkakan cabaran daripada seteru terdekat, iaitu Pahang, yang dibarisi 10 pemain kebangsaan selain Selangor dan Terengganu.

Pasukan-pasukan lain yang menyertai kejohanan itu ialah Melaka, Kuala Lumpur City, Kedah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Perak akan membuka kempen bertemu Selangor di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, Ahad depan, disusuli perlawanan kedua menentang Kedah di Stadium Indera Mulia, Ipoh, tiga hari selepas itu.