Selepas tumpas 0-5 kepada Selangor dalam perlawanan pembukaan, Perak bertekad untuk bangkit apabila bertemu Kedah dalam perlawanan kedua Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, malam esok.

Pengurus pasukan Perak, Wan Fadzli Izam Wan Zulkifli, berkata usaha sudah dilakukan untuk memperbaiki kelemahan pasukan.

"Kami sudah membuat bedah siasat persembahan pasukan dalam perlawanan pembukaan.

"Usaha sudah dilakukan untuk memperbaiki kepincangan dan diharapkan pemain tidak mengulangi kesilapan seperti perlawanan pertama, " katanya.

Menurut Wan Fadzli, kekalahan kepada Selangor disebabkan Perak memberi terlalu banyak ruang kepada tuan rumah selain mensia-siakan 10 peluang yang diperoleh dalam 10 minit awal.

Katanya, benteng terakhir Selangor juga kebal kerana dikawal oleh penjaga gol kebangsaan hingga sukar dibolosi.

"Saya berharap pemain sudah melupakan kekalahan itu dan berusaha mengutip kemenangan dalam perlawanan kedua di tempat sendiri," katanya.

Wan Fadzli, bagaimanapun, mengingatkan anak buahnya supaya tidak bersikap terlalu yakin yang mungkin memakan diri.

Katanya, Kedah bukan calang-calang pasukan apabila seri 2-2 dengan Terengganu ketika memulakan kempen di Alor Setar, Sabtu lalu.