Tonggak futsal Pahang, Azwann Ismail, tidak selesa pasukannya dilabel sebagai pasukan pilihan apabila menegaskan semua pasukan memiliki kekuatan seimbang untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2019.

Skuad dengan jolokan Pahang Rangers itu ibarat pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kancah bola sepak tempatan.

Ini berdasarkan himpunan pemain berstatus bintang dalam pasukan berkenaan yang diketuai ketua pasukan negara, Khairul Effendy Bahrin, Saiful Nizam Mohd Ali, Abu Haniffa Hassan, Akmarulnizam Idris dan Azwann.

Tidak cukup dengan itu, skuad bimbingan Taufik Yaiyah itu diperkuatkan lagi dengan beberapa pemain muda negara seperti Iqbal Aikal Mohd Noor, Mahadir Harahap Khairuddin dan Iskandar Harun.

Ia sekali gus menyaksikan kelibat pasukan berbelanja besar itu amat dinantikan peminat dan diramalkan bergelar juara edisi sulung MPFL.

"Kami takut label sebagai pasukan pilihan menghadirkan tekanan, jadi kami juga mahu dianggap sebagai pasukan 'underdog'.

"Lagipun, pasukan-pasukan lain juga memberikan saingan yang hebat.

"Biarlah kami fokus kepada satu persatu perlawanan," kata Azwann.

Iqbal pula menyimpulkan persiapan Pahang Rangers berjalan lancar dan mereka sedang giat membentuk keserasian dalam mengukuhkan semangat dalam kalangan pasukan itu.

"Tahun lepas saya mendapat panggilan skuad kebangsaan. Saya tidak berasa terasing ekoran hubungan erat dalam kalangan anggota Pahang Rangers.

"Kami masih mencari keserasian di padang dan luar padang, Insya-Allah kami akan bersatu hati," katanya.

Pahang akan membuka tirai MPFL dengan menentang Kuala Lumpur di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Ahad ini.