Menjelang Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) bakal membuka tirai 7 Januari depan, Pahang Rangers kembali memanfaatkan baki masa yang ada untuk mempersiapkan pasukan.

Sebelum ini, Pahang Rangers perlu menghentikan persiapan mereka buat sementara waktu ekoran bencana banjir yang melanda negeri itu selepas terkandas di Shah Alam.

Selain daripada masalah banjir, ada beberapa kekangan lain dihadapi pasukan itu sehingga terpaksa menjalani sesi latihan tanpa beberapa pemain kerana isu kesihatan dan keluarga.

Kapten Pahang Rangers, Akmarulnizam Idris berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, bahawa ketika ini mereka sedang giat memperbaiki barisan benteng pertahanan yang dilihat sering menjadi kelemahan.

"Kami sebelum ini terjejas dengan masalah banjir di Shah Alam dan kini sudah kembali ke Kuantan baru dapat kembali menjalani latihan," katanya.

Penyandang juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL), Selangor Mac dalam fasa akhir persiapan menjelang aksi pembukaan musim baru menentang pencabar kejuaraan, Pahang Rangers 7 Januari hadapan.

Selangor Mac sudah pasti menjadi tumpuan apatah lagi mereka diperkuat dengan barisan bintang seperti Khairul Effendy Bahrin dan import dari Brazil, Ceara.