MELAKA 2 KL CITY 0

Melaka meraih kemenangan pertama dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) selepas menundukkan KL City 2-0 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, sebentar tadi.


Sebelum ini, Melaka tumpas 1-3 kepada Selangor dalam perlawanan pertama, namun bangkit untuk menjadikan KL City sebagai mangsa pertama mereka musim ini.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam babak pertama, namun kerap kali dihampakan kekentalan pertahanan dan penjaga gol lawan.

Melaka akhirnya memecah kebuntuan menerusi jaringan Muhammad Tarmizi Abdul Ghafar pada dua minit terakhir babak pertama.

Aksi dalam babak kedua pula menyaksikan KL City buntu untuk memecahkan tembok pertahanan Melaka.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Mohamad Danial Abdul Dain untuk menjaringkan gol kedua Melaka pada minit ke-25.

Dua jaringan itu ternyata sudah cukup untuk Melaka meraih kemenangan pertama, sekali gus menjadi tonik terbaik menjelang pertemuan dengan Kedah, Sabtu depan.