Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penangguhan kempen Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) yang dijadualkan 12 Jun depan.

Tarikh baru pelantar tertinggi futsal negara itu akan ditentukan dalam sesi perbincangan pada 7 Jun depan.

FAM mengambil langkah itu selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini, berkenaan prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi bagi membendung penularan COVID-19.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun depan, apatah lagi kes penularan tempatan yang semakin meningkat ketika ini.





Mac lalu, sebanyak 20 pasukan lelaki sementara 12 wakil wanita diumumkan bakal mengambil bahagian untuk kempen yang sepatutnya berakhir hujung Ogos kelak.

Senarai pasukan lelaki terdiri daripada Kedah, Sarawak, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor MAC, Pahang Rangers FC, KL City FC, KPT-PST Mustangs termasuk sembilan pendatang baru iaitu Sabah, Melaka, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan United, Kelantan FC, Sarawak United, Shah Alam City, Selangor TOT United dan PDRM FC.

Sementara situ, saingan wanita pula terdiri daripada Kuala Lumpur, Melaka, Sabah, Sarawak, FC Langkawi, KPTM Bangi, Pahang Rangers FC, Kuala Lumpur Prefer FC, Selangor MBSJ FC, Selangor MBPJ FC, Perak SSCJ dan PDRM FC.

Dalam masa sama, FAM menyerahkan kertas kerja (garis panduan pengelolaan perlawanan dan peraturan khas COVID-19) untuk Piala Presiden, Piala Belia, Liga M3 selain MPFL bagi musim ini.