KUALA LUMPUR 4 PERAK 3

Kuala Lumpur meraih kemenangan sulung dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) apabila menewaskan Perak 4-3 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, hari ini.


Perak terlebih dahulu di depan menerusi gol sendiri Kuala Lumpur selepas hantaran Ridzwan Bakri terkena kaki Shafiq Tahir pada minit ke-15.

Kuala Lumpur kemudian memperkemaskan aksi untuk meraih dua gol berturut-turut hasil jaringan Kamilul Shahidin Abdul Karim dan Ahmad Azim Mohammad pada minit ke-20.

Kamilul Shahidin terus melebarkan jurang apabila meledakkan gol ketiga Kuala Lumpur pada minit ke-33.

Bagaimanapun, Perak kembali merapatkan kedudukan menerusi jaringan Wan Norhisham Wan Nasri pada minit ke-35.

Kuala Lumpur tidak menunggu lama untuk menemui jaringan keempat hasil usaha Mulhim Muqri Faisal pada minit ke-39.

Perak meledak gol ketiga menerusi Ridzwan pada penghujung aksi, namun kedudukan 4-3 kekal hingga tamat perlawanan.