KL City berharap pengelola Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), agar menarik semula keputusan menghadiahkan seteru mereka hujung minggu lalu kemenangan percuma.

14 pemain skuad itu dijangkiti COVID-19 dan kini dalam tempoh kuarantin, justeru kemenangan 5-0 telah diberikan kepada Selangor TOT dan Selangor MAC.

Keputusan itu selaras dengan peruntukan Perkara 6 (6-1) (6-1-1) iaitu keputusan perlawanan yang tidak dapat diteruskan seperti yang terkandung dalam Peraturan Tambahan Penganjuran Pertandingan 2022.

Namun, jurulatih KL City, Jerry Dinesh, sebaliknya merayu FAM agar menunda perlawanan itu ke satu tarikh yang lain demi hasrat anak buahnya untuk menjadikan MPFL sebagai medan menguji kemampuan.

"Apabila perlawanan-perlawanan itu dikira kami yang menarik diri, ia menimbulkan pertanyaan adakah pilihan keputusan itu telah diberikan kepada ketiga-tiga pasukan, iaitu sama ada untuk tunda perlawanan atau menarik diri.

"Jelas sekali KL City cuba tunda perlawanan. Kami cuba bermain memandangkan sudah dua tahun tidak bertanding.

"Menang atau kalah itu belakang cerita, (lagipun) kami adalah sebuah pasukan yang sedang membangun.

"Kami sedia (tanggung) kos dan venue perlawanan tapi kami agak kecewa apabila lawan tidak terimanya.

"Buat masa sekarang kami ada buat bantahan dan mengemukakan rayuan kepada FAM agar menilai semula keputusan ini," katanya di ibu negara hari ini.





Walaupun pasrah pasukannya dilanda pandemik itu, Jerry masih berharap anak buahnya dibenarkan kembali bersaing pada hujung minggu ini berikutan keadaan barisan pemainnya yang makin pulih.

Mereka yang menduduki tangga ke-12 MPFL dijadual bertemu Pulau Pinang di Kompleks Sukan Negara, Panasonic, Ahad ini.

"Agak menyedihkan kerana separuh pemain tinggal di hostel dan selebihnya di rumah (masing-masing).

"Isteri saya pula mengandung, emak menghidapi penyakit kronik selain duduk di hotel dengan sendirian.

"Kadangkala memikirkan nasib mereka, dapat pula keputusan seperti ini, saya berasa ia seperti tidak adil, sangat terkilan kerana saya tidak dapat melindungi mereka," katanya lagi.