"Kami tidak kisah dilabel pasukan budak sekolah."

Ketua pasukan futsal KL City, Muzhaffar Tahar, menegaskan pasukannya sedia menghadirkan saingan hebat dalam Liga Perdana Futsal Malaysa (MPFL) 2019 walaupun dibarisi rata-rata pemain muda.

Kelibat KL City mencuri tumpuan apabila dibarisi enam pemain yang masih bersekolah dengan masing-masing berumur 17 tahun.

Antaranya adalah Amirul Izwan Amrulnizam, Lukman Faris dan Arman Irfan Asmadi untuk membuat penampilan pertama dalam liga futsal.

Sememangnya, kemampuan mereka untuk bersaing menjadi tanda tanya walaupun dibimbing bekas pemain negara, Jerry Dinesh Pereira.

"Saya tidak kisah pun (tanggapan itu).

"Biarlah kami tidak begitu menonjol dan tidak bermegah.

"Jurulatih tidak akan menurunkan semua pemain muda dalam sesuatu perlawanan.

"Mereka sebaliknya akan digandingkan bersama-sama pemain senior, maka dengan perlahan-lahan mereka akan dapat menyesuaikan diri," kata Muzhaffar ketika ditemui dalam latihan pasukan itu di Impact Malaysia, Puchong, hari ini.

Amirul tidak menganggap faktor usia sebagai penghalang utama, bahkan berjiwa besar apabila berazam untuk melakar kejutan.

"Tiada apa yang boleh menghalang kami daripada segi faktor umur, kami boleh belajar.

"Semua ini boleh dijayakan dengan melakukan persediaan awal.

"Kalau kami dapat bekerjasama secara berpasukan dengan baik, mungkin kami dapat mengalahkan pasukan-pasukan yang lebih senior," kata Amirul.

Skuad yang berpangkalan di Lembah Klang itu, bagaimanapun, diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain negara, Qaiser Heshaam Abdul Kadir, Saiful Aula dan Ahmad Fawzul Hadzir.

KL City akan membuka aksi pertama menentang Pulau Pinang di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, esok.