Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Astro sekali lagi akan bertindak selaku penyiar rasmi Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), musim ini.

Memasuki musim kedua, liga profesional yang dijadualkan sepak mula pada Sabtu ini sehingga 26 September depan itu menyaksikan Astro Arena dan Stadium Astro bakal menyiarkan perlawanan terpilih.

"Selepas menikmati musim pertama di Astro Arena, kami berbesar hati untuk meneruskan kesinambungan serta memastikan MPFL dekat dengan peminat futsal di Malaysia.

"Dengan kehadiran lebih banyak pasukan, saingan kali ini pasti meningkatkan kehangatan, jadi pastikan anda menyaksikannya menerusi platform Astro," kata Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Chong Kay.

Susulan sambutan positif yang diterima tahun lalu, di mana Selangor mengatasi Pahang Rangers tujuh mata untuk muncul status juara, pihak FAM membuat keputusan untuk menambah empat lagi penyertaan menerusi Sarawak, Kelantan, Negeri Sembilan dan KPM-PSG Mustangs.

Lapan pasukan teratas daripada 12 pasukan keseluruhan bakal melayakkan diri ke Piala Futsal Malaysia yang bakal diadakan buat kali pertama, hujung tahun ini.