Ketua jurulatih Selangor MAC, Addy Shairullyzam Mohd Shafie, meraikan kejayaan 'berganda' selepas skuad kendaliannya berpesta gol 8-1 mengatasi ATM dalam saingan Liga Perdana Futsal Malaysia.

Kutipan tiga mata berharga buat juara bertahan itu hadir tepat pada masanya selepas pencabar kejuaraan, Pahang Rangers yang tercicir mata diikat Negeri Sembilan 1-1 pada aksi terdahulu.

Kemenangan Selangor MAC bertunjangkan keberkesanan import dari Brazil, Ceara yang mengetuai jentera serangan selain menjaringkan dua gol.

Turut mencuri tumpuan, pivot muda negara, Ekmal Shahrin, selepas meledak satu gol sekaligus mendahului senarai penjaring terbanyak menerusi enam gol keseluruhan.

Lebih manis, kejayaan Selangor merekod kemenangan keempat musim ini menempatkan mereka di puncak liga.

"Saya tetap menganggap ia adalah perlawanan yang agak sengit kerana pasukan kerap melakukan serangan dan tekanan sepanjang perlawanan namun kami gembira kerana berjaya merakamkan kemenangan," kata Addy.

Sementara itu, pasukan KPT-PST Mustangs berjaya merekodkan kemenangan sulung ke atas Kuala Lumpur semalam.

Dan ketua jurulatihnya, Wan Wuratman Wan Roslee, ada sebab untuk senyum lebar dengan keputusan 8-2 yang diperoleh menerusi perlawanan tersebut.

Kejayaan Mustangs menghasilkan lima gol di babak pertama membuat KL terkedu, namun mereka hanya mampu membalas dengan satu jaringan pada minit ke-20.

Di babak kedua pula, semangat KL tercalar lagi apabila mereka hanya berjaya menghasilkan satu gol berbanding Mustangs yang menemui jalan untuk mencetak tiga lagi gol sebelum menoktahkan kemenangan 8-2.