Pasukan tercorot Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), KL City FC, menjadikan musim 2019 sebagai medan eksperimen bagi mempersiapkan pasukan musim depan.

Perkara itu diakui jurulatihnya, Jerry Dinesh, selepas KL City sah menamatkan MPFL di kedudukan terbawah tanpa sebarang kemenangan dengan berbaki dua perlawanan.

Bekas pemain negara itu berkata 'uji kaji' berani itu diambil berikutan tiada penyingkiran kepada mana-mana pasukan dalam edisi sulung liga profesional itu.

"Saya juga mengamalkan sistem permainan berbeza dan mengambil sedikit masa untuk pemain-pemain menyesuaikan diri.

"(Bajet) KL City hanya RM125,000 jika nak banding dengan pasukan seperti Selangor dan Pahang yang sudah tentu berbelanja hampir RM1 juta.

"Tak logik jika kami berbelanja mewah kerana tahun ini lebih kepada eksperimen, namun pendekatan KL City pada 2020 pasti berlainan," ujarnya.

Hasrat KL City membaiki kedudukan liga tidak kesampaian susulan kekalahan 2-4 kepada Terengganu semalam, sekali gus kekal di dasar liga dengan hanya tiga mata daripada 14 perlawanan.

Sementara itu, Dinesh mengesahkan akan membawa KL City beraksi dalam kejohanan empat penjuru di Yogjakarta, Indonesia hujung minggu ini.

Bekas pemain negara itu menjelaskan mereka mendapat jemputan untuk menggantikan Iraq yang menarik diri dan akan berentap dengan pasukan tuan rumah, Taiwan dan Uzbekistan.

Lima pemain, masing-masing daripada skuad Pahang Rangers dan Kuala Lumpur, telah dipanggil dalam kunjungan ke Indonesia esok.

"Ini adalah peluang pemain-pemain yang tidak bersama skuad kebangsaan ke Chengdu, China, untuk mendapat pendedahan di peringkat tertinggi," ujarnya lagi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)