Monster Energy Yamaha menggugurkan pelumbanya, Maverick Vinales, daripada saingan Grand Prix Austria hujung minggu ini berikutan "cara kendalian motosikal yang tidak sepatutnya" dalam perlumbaan minggu lalu.

Pelumba berusia 26 tahun itu gagal menamatkan perlumbaan GP Styria minggu lalu, di mana dia mendedahkan ia berpunca daripada pelbagai isu elektronik.

Bagaimanapun, Yamaha berkata dalam satu kenyataan malam tadi bahawa tindakan yang dilakukan Vinales itu "berpotensi menyebabkan kerosakan signifikan kepada enjin" dan menggantung pelumba Sepanyol itu daripada perlumbaan pusingan ke-11 kejohanan berkenaan.

Keputusan itu diambil Yamaha berdasarkan "satu kajian terperinci terhadap telemetri dan data yang diambil sepanjang beberapa hari lalu".

Vinales, yang merupakan rakan sepasukan kepada pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo, tidak akan digantikan oleh mana-mana pelumba di Red Bull Ring.

Juara enam perlumbaan MotoGP itu mengumumkan pada Jun lalu bahawa dia akan meninggalkan Yamaha setahun lebih awal pada penghujung musim 2021.