Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini mengumumkan penamatan kerjasama dengan Petronas selaku penaja utama secara persetujuan bersama selepas tamat saingan MotoGP musim 2021.

Sebelum ini, Petronas merupakan penaja utama SIC sejak 2018 melalui pasukan Sprinta Racing Team dalam saingan Moto2 dan Moto3 sebelum mengembangkannya ke kategori perdana MotoGP melalui pasukan Petronas Yamaha Racing Team sejak 2019.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azman Shafriman Hanif, dalam satu kenyataan hari ini berkata: "SIC mengucapkan terima kasih kepada Petronas atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang kerjasama dan pengembaraan yang bersejarah ini bersama kami.

"Kami menghormati keputusan Petronas dan secara bersama bersetuju bahawa kerjasama ini telah mencapai tujuan dan objektifnya.

"Kami menikmati jalinan yang amat bermakna ini, dengan kejayaan yang hebat dan momen yang akan diingati bersama pasukan ini.

"Saya percaya ini bukanlah penamat kerjasama kita dalam sukan permotoran memandangkan kita akan meneruskan usaha mencari bakat Malaysia dalam sukan permotoran ini," katanya.