Jorge Lorenzo mengalami retak tulang belakang dan bakal terlepas perlumbaan MotoGP di Belanda selepas terlibat dengan kemalangan ketika sesi latihan semalam.

Pelumba Repsol Honda itu yang turut mengalami kemalangan dalam Grand Prix Catalunya serta ujian di Barcelona, melayang dari jentera yang ditunggang ketika berada pada kelajuan tinggi sewaktu melewati pusingan 7 di litar di Assen.

Insiden itu menyaksikan pelumba berusia 32 tahun itu -- yang sebelum ini mengadu kesakitan di bahagian dada dan belakang -- terkeluar daripada sesi latihan kedua tatkala dia menjalani imbasan.

Keputusan mendedahkan Lorenza mengalami retak tulang belakang dan tidak cergas untuk melengkapkan saingan minggu ini, termasuk perlumbaan esok.

"Lorenzo dilaporkan menjalani imbasan pada tulang keenam 'thoracic vertebra' dan mereka masih meneliti keputusan untuk meneruskannya," kata doktor, Michele Zasa.

"Kemungkinan besar dia akan kembali ke Barcelona, di mana dia memiliki pakar tulang peribadi untuk merawatnya. Dia juga akan melalui rawatan susulan, termasuk imbasan MRI, namun masih dalam fasa untuk mempertimbangkan sebarang keputusan.

"Sudah pasti ketika ini dia tidak cergas memandangkan laporan menunjukkan bahawa dia mengalami retak di bahagian tulang keenam 'thoracic vertebra' tetapi ingin ditegaskan, tiada sebarang kesan saraf. Dia bergerak dan tidak mengalami sebarang petanda masalah di bahagian saraf.

"Helmet menunjukkan kesan calar tetapi dia masih sedarkan diri, tidak pengsan atau mengalami sebarang gegaran.

"Jadi, kecederaannya hanya melibatkan dada dan belakang."