Fabio Quartararo melebarkan penguasaannya dalam MotoGP dengan kemenangan keempat musim ini di Belanda, sebentar tadi.

Quartararo bermula dengan baik dari tempat kedua di belakang Maverick Vinales sebelum terlibat dalam saingan sengit dengan Francesco Bagnaia pada awal perlumbaan sebelum memacu ke garisan penamat terlebih dahulu untuk 2.757 saat lebih pantas di Litar TT Assen itu.

Pelumba Monster Energy Yamaha itu akan menuju rehat musim panas ini dengan kelebihan 34 mata selepas menguasai empat perlumbaan sambil rakan sepasukan, Vinales, di tempat kedua disusuli Joan Mir.



Bagnaia menghabiskan perlumbaan itu di tempat keenam selepas dikenakan penalti.

Johann Zarco yang juga dalam perebutan gelaran dunia mengakhiri perlumbaan di tempat keempat sementara Marc Marquez meraih kedudukan ketujuh di sebalik bermula di petak ke-20.

Quartararo memulakan perlumbaan dengan sepantas kilat untuk memintas Vinales tetapi ia hanya bersifat sementara apabila tiba giliran Bagnaia memimpin saingan.

Kedua-dua pelumba itu saling bertukar posisi untuk memacu saingan sebelum Quartararo mengekalkan pendahuluannya tatkala drama tercetus ketika Zarco dan Alex Rins mencetuskan drama di selekoh ke-10.

Valentino Rossi pula menamatkan perlumbaannya dengan lebih berikutan kemalangan ketika berbaki 19 pusingan lagi.

Harapan Bagnaia untuk menghambat Quartararo berakhir apabila dia dihukum ketika perlumbaan berbaki 13 pusingan dan dalam masa yang sama, Jack Miller masih mampu meneruskan tunggangannya biarpun terjatuh.

Pecutan Vinales untuk merapatkan jurang dengan Quartararo pada saat-saat akhir bagaimanapun belum memadai bagi menggugat kedudukan pendahulu berusia 22 tahun itu.