Maverick Vinales meninggalkan pasukan Monster Energy Yamaha dan tidak akan mewakili mereka bagi baki perlumbaan musim ini, demikian diumumkan pasukan itu malam tadi.

Vinales dan Yamaha bersetuju untuk memendekkan kontrak di antara mereka, yang sepatutnya tamat pada 2022, walaupun pelumba itu dijaduakan meninggalkan pasukan berkenaan hujung musim ini.

Vinales mencipta kontroversi ketika gagal menamatkan Grand Prix Styrian dua minggu lalu.

Pelumba Sepanyol itu berkata jenteranya mengalam isu elektronik tetapi Yamaha menegaskan ia "satu cara tunggangan yang tidak sepatutnya dan boleh mendatangkan kerosakan signifikan terhadap enjin".

Vinales kemudian digantung daripada menyertai GP Austria minggu lalu dan kini tidak akan lagi mewakili pasukan itu.

Keputusan itu diumumkan dalam satu kenyataan, di mana Pengarah Urusan Yamaha, Lin Jarvis, menjelaskan: "Di Assen, Yamaha dan Vinales mengumumkan kesepakatan secara bersama untuk menamatkan program asal 2021-2022 dengan lebih awal pada penghujung 2021.

"Komitmen pelumba dan pasukan ini sepatutnya akan berterusan sepanjang musim dengan pasukan memberikan jaminan untuk menyediakan sokongan penuh dan pelumba juga perlu memberikan usaha maksimum agar kami dapat menamatkan projek ini dengan berjaya.

"Malangnya, perlumbaan di GP Styrian tidak berlangsung dan tamat dengan baik dan selepas perbincangan kedua-dua pihak, keputusan secara persetujuan bersama telah dicapai untuk kami menamatkan kerjasama dengan lebih awal.

"Perpisahan awal ini membolehkan pelumba bebas memilih haluan masa depannya dan juga membolehkan pasukan menumpukan terhadap baki perlumbaan musim 2021 dengan pelumba gantian -- yang masih belum ditentukan."

Sebagai rekod, Vinales menyertai Yamaha daripada Team Suzuki Ecstar pada 2017 dan kini berada di kedudukan keenam keseluruhan kategori pelumba.