Marc Marquez merampas kedudukan pendahulu MotoGP apabila mengambil kesempatan ke atas kemalangan yang menyaksikan tiga pencabar utamanya terbabas dalam Grand Prix Sepanyol, sebentar tadi.

Juara bertahan itu hanya mendahului perlumbaan di Litar Jerez ketika saingan berbaki lapan pusingan dengan memintas Jorge Lorenzo sebagai pendahulu dan sejak itu, pelumba Repsol Honda berkenaan mengekalkan pendahuluannya meskipun dihambat rakan sepasukan, Andrea Dovizioso serta Dani Pedrosa.

Keghairahan Dovizioso dan Pedrosa untuk mencabar kedudukan terbaik akhirnya memakan diri apabila kedua-duanya terlibat dengan kemalangan. Situasi itu secara tidak langsung membuka peluang buat Johann Zarco dan Andrea Iannone untuk menaiki podium.

Sementara itu, penunggang MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang tidak berada dalam keadaan terbaik -- akibat terjatuh semasa sesi latihan berbasikal -- apabila memulakan aksi di petak ke-22, namun terpaksa akur tanpa sebarang mata apabila menamatkan perlumbaan di tangga ke-16.

Nasib yang sama turut menimpa pelumba Moto3, Adam Norrodin, yang turut mengakhiri saingan di kedudukan yang sama. Begitupun, dia meluahkan kekecewaan kerana terlepas untuk merebut satu mata selepas pelumba Jepun, Ai Ogura, menghabiskan aksi 22 pusingan itu di depannya.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing kini menduduki tangga ke-16 keseluruhan dengan mengumpul 16 mata selepas empat perlumbaan musim ini.

Sementara itu, dua pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi dan Zulfahmi Khairuddin, ditimpa nasib berbeza.

Khairul Idham atau mesra disapa SuperKIP mencatat masa 40 minit 07.723 saat untuk meraih kedudukan terbaik musim ini di tangga ke-18 tetapi rakan senegara, Zulfahmi, terjatuh dalam pusingan kesembilan.

Menurut Zulfahmi, masalah gear yang dihadapinya menjadi puncanya terjatuh selepas terpaksa berjuang memulakan perlumbaan di petak ke-33.

Selepas ini, mereka akan mengalihkan tumpuan kepada pusingan kelima musim ini di Litar Le Mans, Perancis, 20 Mei ini.