Marc Marquez cergas untuk mengikuti perlumbaan Grand Prix (GP) Andalusia hujung minggu ini di sebalik baru menjalani pembedahan bagi merawat tangannya yang patah, kelmarin.

Juara dunia MotoGP enam kali itu meninggalkan hospital dan menuju ke Jerez semalam bagi menyertai semula persiapan pasukan Repsol Honda sebelum menjalani pemeriksaan perubatan pada waktu makan tengah hari yang menyaksikannya diluluskan untuk berlumba.

"Fit to ride (cergas untuk berlumba)", demikian pesanan pasukan itu di media sosial dan disertai gambar Marquez yang membonceng skuter sambil menunjukkan tanda bagus kepada kamera.



Ini bererti bahawa penunggang luar biasa Sepanyol tersebut bakal terlibat dalam perlumbaan kedua musim ini yang tertangguh itu di sebalik mengalami kecederaan dalam GP Sepanyol, Ahad lalu, juga di Jerez.

Marquez terbabas ketika menghambat tempat kedua lalu tulang lengannya kanan retak.

Pelumba berusia 27 tahun itu lantas dikejarkan ke hospital di Barcelona sebelum berkongsi perkembangannya di Instagram, dua hari kemudian, dengan lengan kanan yang berbalut disertai dengan kapsyen "saya tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan pemulihan".