Marc Marquez akan bermula di petak keenam dalam kemunculan semulanya dalam drama kontroversi di bahagian depan grid kelayakan Grand Prix (GP) Portugal, malam tadi.

Juara enam kali itu kembali berlumba dalam MotoGP minggu ini sejak pembukaan musim 2020.

Bintang Repsol Honda itu mengalami kecederaan lengan kanan dalam perlumbaan di Jerez berkenaan dan gagal dalam usahanya untuk membuat kemunculan semula dengan pantas, sebaliknya terpaksa berehat panjang yang menyaksikan Joan Mir merampas mahkota kejuaraannya.

Justeru, Marquez -- yang turut terlepas dua perlumbaan pertama -- mengambil langkah berjaga-jaga apabila beraksi di Litar Antarabangsa Algarve itu.

Dia pernah membuat penampilan di Estoril, Portugal, dalam saingan Moto2 yang berakhir dengan kejayaan pada 2012.

Masih dalam program pemulihan, Marquez berkata: "Esok saya akan menderita. Tetapi minggu depan saya akan pulih sebelum semakin mantap ketika Jerez kelak."




Dalam tunggangan Q2 itu, dia melakukan catatan 1 minit dan 39.121 saat untuk muncul pelumba keenam terpantas bagi memastikan permulaan yang kompetitif hari ini.

Marquez pada awalnya akan memulakan aksi di petak ketujuh sekiranya catatan Francesco Bagnaia tidak dibatalkan.

Bagnaia, yang meraih petak utama dalam kemunculan sulung MotoGP musim ini, percaya dia akan sekali lagi bermula di depan selepas memecahkan rekod pusingan kelayakan.

Pelumba Itali itu merakamkan tiga pusingan terpantas dalam dua musim terakhir.

Begitupun, penunggang Ducati terbabit melakukan kesilapan apabila melewati zon bendera kuning ketika melengkapkan pusingan 1:38.494 selepas Miguel Oliveira terjatuh.

Fabio Quartararo mendapat manfaat apabila kedudukan itu dibatalkan untuk menerajui petak permulaan.

"Pasti (kedudukan bendera itu adalah satu masalah) memandangkan saya datang dari lereng bukit dan bendera kuning pula berada di sebelah kanan," kata Bagnaia yang memberi cabaran mantap musim ini yang merangkumi 26 mata hasil dua perlumbaan selepas mengumpul 47 mata dalam 11 perlumbaan musim 2020.

"Saya sudah siap mengambil selekoh jadi adalah mustahil untuk dapat melihat pasukan saya.

"Luca Marini yang berada di belakang saya juga mengatakan hal yang sama. Dia juga tidak dapat melihat bendera kuning, ia mustahil untuk nampak."

Quartararo akan berusaha untuk mempertahankan kedudukannya setelah hanya empat kali berkesempatan memanjat podium dalam 16 perlumbaan lalu.

Keputusan kelayakan:

1. Fabio Quartararo (Monster Yamaha) 1:38.862
2. Alex Rins (Team Suzuki Ecstar) +0.089s
3. Johann Zarco (Pramac Racing) +0.129s
4. Jack Miller (Ducati) +0.199s
5. Franco Morbidelli (Petronas Yamaha) +0.241s
6. Marc Marquez (Repsol Honda) +0.259s
7. Aleix Espargaro (Aprilia) +0.307s
8. Luca Marini (Esponsorama) +0.524s
9. Joan Mir (Team Suzuki Ecstar) +0.536s
10. Miguel Oliveira (Red Bull KTM) +0.583s
11. Francesco Bagnaia (Ducati) +0.620s
12. Maverick Viñales (Monster Yamaha) +0.945s