Pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin, mahu kekal bersama pasukan Stop and Go (SAG) dalam saingan musim depan biarpun pasukan daripada Sepanyol itu telah manamatkan usaha sama mereka dengan OneXOX TKKR.

Kelmarin, Prinsipal Pasukan OneXOX TKKR, Bobbie Farid Shamsuddin, mengumumkan penarikan diri mereka daripada saingan Moto2 musim depan susulan perbincangan meragukan membabitkan pasukan dari Indonesia, Mandalika Racing Team, yang dikatakan turut membuat usaha sama dengan SAG.

Bagaimanapun, kedudukan pelumba negara, Kasma Daniel, berkemungkinan tidak akan terjejas memandangkan kontraknya bersama SAG masih berbaki semusim lagi.

Mengulas mengenai perkara itu, Kasma Daniel dalam satu temu bual Nadi Arena berkata: "Saya masih menunggu jawapan daripada SAG, cuma saya mengharapkan yang terbaik kerana saya sudah banyak menimba pengalaman dan Insya-Allah, dapat meningkat musim depan.

"Saya akan berusaha untuk mendapatkan podium pertama saya dengan menguatkan lagi keadaan fizikal dan mental.

"Saya banyak belajar sepanjang tahun pertama ini. Saya sedar kemahiran saya tidak berapa mencukupi dalam Kejuaraan Dunia tetapi saya banyak belajar dan berusaha keras.

"Biarpun pasukan tidak meletakkan sebarang sasaran buat saya, saya tetap meletakkan sasaran peribadi musim lalu," katanya lagi.