Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang terlibat dengan kemalangan jalan raya ketika berkayuh basikal tetap akan menyertai perlumbaan di Litar Jerez, Sepanyol minggu ini kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Hafizh terlibat dengan kemalangan ketika berbasikal di Catalunia bersama rakan sepasukan yang lain.

Ekoran itu, dia mengalami luka di bahagian pinggul dan siku.

Hafizh ketika dihubungi menjelaskan sudah mendapatkan rawatan dan masih akan meneruskan perlumbaan pada hujung minggu ini di Litar Jerez.

Selepas mengharungi tiga perlumbaan, Hafizh kini berada di tangga ke-13 dengan mengutip sembilan mata.

"Saya cuba keringkan luka secepat mungkin agar dapat beraksi di Jerez. Saya tetap akan beraksi, cuma kini saya perlu membuatkannya lebih lancar. Tiada apa yang begitu serius," katanya.