Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar di kedudukan ke-14.

Dalam perlumbaan di Litar Antarabangsa Losail itu tengah malam tadi, Hafizh Syahrin mencatat 42 minit 54.953 saat, sekali gus memungut dua mata berharga dalam penampilan pertamanya dalam kancah MotoGP.

Pelumba negara berusia 23 tahun itu memulakan perlumbaan di petak ke-15, bagaimanapun tercicir di kedudukan ke-17 pada awal saingan sebelum menamatkan perlumbaan, 20.299 saat di belakang juara, Andrea Dovizioso (Ducati), yang dihambat Marc Marquez pada saat-saat akhir sambil legenda dari Itali, Valentino Rossi, di tempat ketiga.

Rakan sepasukannya di Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco, meraih tempat kelapan biarpun mengungguli awal saingan manakala seorang lagi pelumba baru, Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS), dari Itali menamatkan saingan di kedudukan ke-12.

Mengulas mengenai perlumbaan itu, Hafizh Syahrin berkata: "Alhamdulillah, syukur saya dapat meraih mata dalam perlumbaan ini, tidak sangka saya dapat kekal dalam kelompok mata.

"Ini satu pengalaman bagi saya untuk perlumbaan akan datang.

"Saya berasa apa yang saya belajar berkenaan elektronik kali ini amat berguna untuk perlumbaan akan datang.

"Saya akan belajar lagi dan kaji balik apa kelemahan saya. Terima kasih kepada peminat yang mendoakan saya.

"Dua mata ini untuk anda semua walaupun saya tidak sasarkan mata.

"Dengan semangat dan fokus, saya bersyukur dapat meraih mata untuk pasukan dan Malaysia," katanya.

Sementara itu, kekecewaan melanda dua pelumba negara dalam kategori Moto2 yang menyaksikan Khairul Idham Pawi sekadar menduduki tangga ke-23 manakala Muhammad Zulfahmi Khairuddin di kedudukan ke-28.

Sebaliknya dalam kategori Moto3, Adam Norrodin, lebih cemerlang apabila menamatkan saingan di tempat ke-11 dan secara tidak langsung memungut lima mata.

Argentina akan menjadi tuan rumah kepada perlumbaan seterusnya di Litar Termas de Rio Hondo pada 6 hingga 8 April nanti.