Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, gembira dengan prestasi jentera barunya bersama pasukan NTS RW Racing GP sepanjang ujian musim sejuk di Litar Jerez minggu lalu

Hafizh Syahrin menganggap ujian itu merupakan satu peluang terbaik untuk dia menyesuaikan diri dengan pasukan dan jentera barunya itu.

Dalam sesi ujian melibatkan 71 pusingan itu, pelumba kelahiran Selangor berkenaan berada dalam kelompok 10 pelumba terpantas.

"Cuaca selama dua hari di Jerez tidak begitu baik buat semua pelumba di sana," katanya kepada Nadi Arena.

"Pada hari pertama, saya dan pasukan saya tidak turun melakukan ujian kerana ia seakan-akan tidak bermakna untuk turun mencuba dalam cuaca hujan itu.

"Kami hanya mempunyai tujuh peluang melakukan ujian dalam tempoh setahun, jadi kami tidak mahu membazirkannya kerana berdasarkan perancangan pasukan, kami mahu melakukan ujian jentera baru pada pertengahan tahun 2021," katanya.

Mengenai jentera barunya itu, Hafizh Syahrin menambah: "Saya tidak berapa selesa dengan posisi tangki minyak, terutama ketika saya melakukan brek dan masuk ke selekoh.

"Bentuk tangkinya agak berbeza, jadi saya meminta pasukan untuk mengubah bentuk tangki itu dan mereka memahaminya.

"Mereka mahukan saya memberikan maklum balas sebanyak mungkin," tambahnya.