Demi Malaysia, pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, sanggup berkorban apabila mengambil langkah drastik "membuang" sebahagian jari kelingkingnya bagi membolehkannya meneruskan kempen Moto3 musim ini.

Khairul Idham selamat menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Barcelona, kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia, malam tadi.

Pembedahan itu terpaksa dijalankan selepas pelumba berasal dari Batu Gajah, Perak, berkenaan mengalami kemalangan ketika sesi latihan bebas dalam Grand Prix (GP) Republik Czech, 8 Ogos lalu.

Setahun sebelum itu, dalam GP Sepanyol, 'Superkip' sudah pun mengalami kemalangan di jari yang sama sehingga memberi kesan terhadap prestasinya di atas litar.

"Ini pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi kariernya. Ramai yang tidak tahu pengorbanan mereka.

"Kebanyakan pelumba yang saya tanya, kejadian ini merupakan satu kebiasaan bagi mereka," kata Prinsipal Yamaha-Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali, ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.





Superkip akan menjalani pemeriksaan pada Isnin depan untuk mengetahui status sama ada cergas untuk beraksi 11 September depan.

"Dia perlu kuatkan tangannya selepas pembedahan.

"Dia akan mulakan fisioterapi minggu depan sebelum dibolehkan berlatih di litar go-kart sebagai persediaan kami ke Misano (GP San Marino)."