Zulfahmi Khairuddin, yang pernah mencipta sensasi dalam kancah Moto3, Moto2 dan MotoGP, menyeru Hafizh Syahrin Abdullah agar lebih tabah dalam melalui kekangan dalam sukan permotoran.

Semalam, pelumba Aspar Team itu mengakui 'rimas' dengan politik dalam sukan permotoran sambil menganggap ada pihak yang tidak senang dengan perkembangannya dalam Moto2.

Begitupun, pengurus pasukan SIC Talent ZK Racing itu berasa hairan dengan kenyataan esklusif yang dibuat pelumba berusia 26 tahun tersebut dalam Nadi Arena dan dalam masa yang sama menyeru kepadanya agar mengukuhkan lagi reputasinya.

"Ini bukan cabaran baru bagi Hafizh Syahrin.

"Situasinya agak pelik. Saya yakin di Malaysia, tiada siapa yang mahu menjatuhkan pelumba dan melihat pelumba kita gagal.

"Sudah tentu dia boleh lawan benda ini menerusi keputusan positif di trek dan sebaik dia mula melakukannya, orang akan mula memberi sokongan kepadanya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru, walaupun ada pihak yang cuba memperlekehkan keupayaan pelumba negara, Zulfahmi mahu Hafizh Syahrin lebih cekal dalam menyahut cabaran itu.

"Selama saya berlumba dalam MotoGP pasti ada halangan dan cabaran yang perlu saya ambil.

"Sudah tentu pada awal penglibatan saya, ramai yang tidak suka kerana saya gagal mencapai keputusan memberangsangkan tetapi apabila mula melakukannya, ramai yang akan menyokong saya," katanya.

Medical Info Update ? Pelvic contusion for #Moto2 rider #55 Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao but first scan...

Posted by Aspar Team on Sunday, August 16, 2020


Bagaimanapun, Zulfahmi tidak menolak perkara itu perlu diperhalusi bagi membantu pemilik jentera bernombor 55 berkenaan meningkatkan prestasinya menjelang Grand Prix (GP) San Marino, pertengahan bulan depan.

Apatah lagi dia kini menjalani proses kuarantin wajib untuk berehat di tanah air selepas terbabit dalam kemalangan ngeri dalam di Austria, dua minggu lalu, yang menyaksikannya terlepas aksi terakhir kelmarin.

"Dia tengah keseorangan, dia perlu menyerlah bersama sebuah pasukan bukan dari Malaysia dan merantau bersendirian.

"Dalam mana-mana karier dan perniagaan sekalipun akan ada halangan, termasuk dalam program pembangunan yang saya uruskan.

"Tetapi sebagai seorang pelumba, Hafizh Syahrin kena berbincang dengan pihak pengurusan agar lebih kuat bagi menghadapi cabaran seperti ini.

"Pasti ada orang yang selesa dan tidak dengan kejayaan Hafizh Syahrin. Sangat sayang kalau dia tidak dapat terus berlumba dalam MotoGP.

"Saya harap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dapat tolongnya pada tahun depan."

Bapa Hafizh Syahrin, Abdullah Harun, pula berharap warga siber supaya tidak terlalu meletakkan tekanan ke atasnya.

"Buat masa ini, dia tidak berkongsi apa-apa (perkembangan terbaru) dengan saya. Saya ada bertanya mengenai tindakannya membuat kenyataan sedemikian di Instagram, cuma dia cakap tiada apa-apa.

"Ketika saya menghubunginya, dia seperti menyembunyi (sesuatu), (cuma) dia tidak beritahu saya. Saya tidak pasti dengan kebenarannya, mungkin dia berasa kecewa selain sedang tercedera dan tertekan.

"Pengguna laman sosial kita tidak seperti di Eropah, macam mana buruk pelumba mereka sekalipun, walaupun mencemuh tetapi penyampaian dan sokongan mereka berbeza.

"Lagipun kontraknya akan tamat hujung tahun ini, jadi ini mungkin menjadi salah satu tekanan baginya," katanya.