Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, dalam dilema berikutan penularan wabak koronavirus baru (Covid-19) yang menjejaskan jadual kejohanan sukan permotoran dunia.

Pelumba itu, yang beralih ke pasukan Aspar musim ini dengan mengikat perjanjian sehingga hujung tahun ini, mengakui dalam dilema mengenai nasibnya.




"Persoalan ini ada juga terlintas dalam fikiran dan saya tidak sangka ia akan ditanya oleh Nadi Arena.

"Saya masih tidak pasti kontrak saya dengan Aspar kalau kejohanan ini ditunda ke musim depan ataupun dibatalkan.

"Sudah pasti saya terkilan kerana ia mengganggu fokus dan kesefahaman saya dengan jentera.

"Sepatutnya, kami sedang berlumba dalam pusingan keempat di Argentina," katanya sambil berseloroh kepada wartawan, Wan Muiz Wan Aziz, hari ini.