Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, memberi jaminan pihaknya akan membantu atlet triatlon dan luncur ais negara yang mahu menyertai kelayakan Sukan Olimpik.

Atlet triatlon dan luncur ais menyuarakan kebimbangan mengenai peluang menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 atau Olimpik Musim Sejuk 2022 selepas persatuan masing-masing dibatalkan pendaftaran.

Dalam soal ini, MOM masih dapat membantu untuk mendaftarkan atlet, terutama bagi mengutip mata kelayakan sukan bertemasya.

Atlet triatlon contohnya akan menyertai Sirkit Kesatuan Triatlon Antarabangsa (ITU) di Thailand hujung bulan ini yang menawarkan mata kelayakan Olimpik.

"Jika atlet yang bersaing dalam kelayakan Sukan Olimpik, MOM akan cuba membantu mereka, isu persatuan harus diselesaikan bersama Pesuruhjaya Sukan (PJS)," kata Nazifuddin.

Triatlon tersenarai antara 33 jenis sukan yang akan dipertandingkan dalam Olimpik Tokyo.

PJS mengambil tindakan tegas membatalkan pendaftaran Persatuan Triatlon Malaysia (Triam) dan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) kerana gagal menyediakan dokumen "Maklumat Yang Kena Beri" (MYKB) setiap tahun.