Lelaki terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, adalah antara atlet dalam senarai rayuan untuk dinaik taraf ke kategori A Sukan Asia apabila Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, sudah menerima rayuan lima persatuan sukan kebangsaan.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) antara yang merayu agar kuartet 4x100m yang dibarisi Khairul Hafiz dinaikkan ke kategori A.

Sebelum ini, kuartet negara diletakkan dalam kategori B di mana KOM perlu mengeluarkan kos sendiri dan berpeluang menuntut perbelanjaan jika atlet mereka meraih pingat.

Selain KOM, turut merayu ialah sukan akuatik, menembak, ping pong dan jet ski.

Persatuan sukan lain berpeluang melakukan perkara sama sebelum Jawatankuasa Rayuan bersidang 21 Jun ini.

"Rayuan akan diteliti oleh panel rayuan yang diketuai CDM (Chef-de-mission), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

"Harapan kami adalah untuk menambah daripada kategori B kepada kategori A dan memberi sokongan penuh kepada persatuan sukan bagi menghantar atlet ke Sukan Asia ini," kata Nazifuddin.

MOM menyenaraikan 437 atlet negara dengan 195 daripada mereka berada dalam kategori A.

Malaysia akan menyertai 35 daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan dengan misi mengatasi pencapaian 5 emas, 14 perak dan 14 gangsa di Incheon 2014.