Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merancang untuk menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis bagi menangani masalah dalaman persatuan kebangsaan seperti yang dialami sukan karate dan luncur ais.

Jawatankuasa itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat selepas beberapa persatuan kebangsaan berdepan pergolakan dalaman yang menjejaskan persiapan atlet untuk menyertai kejohanan.

Antara persatuan yang sedang mengalami pergolakan dalaman ialah Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM).

Kemelut itu turut dibawa hingga ke peringkat mahkamah dan situasi itu tidak mencerminkan semangat kesukanan seperti yang dimahukan MOM.

Seorang individu paling sesuai akan dilantik untuk mengetuai jawatankuasa berkenaan dalam masa terdekat.

Sementara itu, mesyuarat jawatankuasa MOM, hari ini turut mengumumkan beberapa perubahan acara dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

Antara yang memberikan kesan kepada kontinjen negara ialah pengguguran acara 10 kilometer renang terbuka wanita yang akan digantikan dengan acara lelaki.

Ikuti perkembangan terperinci dalam Nadi Arena jam 7.30 dan 11 malam ini.