Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berminat menawarkan diri untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022 sekiranya mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan.

Presidennya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, berkata tiada masalah untuk Malaysia menganjurkan temasya berkenaan selepas menyaksikan Durban, Afrika Selatan kehilangan hak sebagai tuan rumah akibat masalah kewangan.

Jelasnya, Malaysia mempunyai fasiliti sukan yang terbaik berikutan penganjuran Sukan SEA, 19-31 Ogos depan, selain pernah menganjurkan temasya itu pada 1998.

Bagaimanapun, MOM tidak akan membuat keputusan rasmi sebelum mendapat sokongan penuh daripada kerajaan.

"Kos penganjuran sepatutnya boleh diserap tetapi ia juga bergantung kepada sokongan kerajaan," katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

"Kami tidak akan menawarkan diri tanpa sokongan kerajaan kerana itulah punca Durban menarik diri kerana tidak mendapat sokongan kerajaan persekutuan."

Dalam perkembangan lain, Tunku Imran mengumumkan bekas pemain badminton negara, Wong Choong Han, dilantik sebagai Chef-de-mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan Komanwel Remaja di Bahamas, Julai depan.

"Ia bukan kontinjen besar yang akan pergi oleh kerana sesetengah atlet sedang dalam persiapan untuk menghadapi Sukan SEA dan Sukan Universiti Dunia (Universiade)," katanya.