Penolong Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, menyatakan sokongan terbukanya terhadap Datuk Mohd Nazifuddin Najib bagi jawatan setiausaha agung dalam pemilihan Sabtu ini, sekali gus menyerlahkan wujud konflik dalaman dalam badan induk itu.

Tindakan Kok Chi menyokong Nazifuddin memberi andaian wujud masalah dalaman dalam MOM menjelang mesyuarat agung tahunannya..

Sepatutnya Kok Chi menyokong penyandang, Datuk Low Beng Choo, yang dianggap sebagai anak didiknya dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOM pada 2015.

Namun, perselisihan faham di antara kedua-dua pegawai sukan utama negara ini menyaksikan Kok Chi beralih arah untuk menyokong Nazifuddin yang juga anak Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya rasa dia lebih muda dan bagus di samping lebih mudah didekati. Dia juga memiliki lebih banyak masa, jadi dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

"Sebenarnya, tiada penambahan besar yang perlu dilakukan buat MOM tetapi sesetengah pihak membuatkannya menjadi sukar.

"Saya tidak bercakap mengenai Datuk Low Beng Choo tetapi itu yang berlaku dalam lima tahun terakhir," ujar Kok Chi.

Nazifuddin minggu lalu menyatakan faktor utama beliau bertanding ialah untuk mengubah sikap diktator pegawai MOM.

Selain setiausaha agung, turut mencuri tumpuan ialah perebutan jawatan timbalan presiden di antara Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Adam Daud, mendapat berita gembira menjelang perebutan jawatan naib presiden MOM apabila beliau menang tanpa bertanding jawatan presiden SRAM apabila menjadi calon tunggal menjelang AGM, 13 Mei ini.

Jadi, tugas kedua Nik Razeen ialah meraih bonus MOM apabila turun selaku calon bukan pilihan.

"Daripada skuasy, walaupun berat tetapi kami mempunyai banyak tenaga. Komuniti yang ada sekarang akan kekal dalam AGM dan saya rasa mereka cukup pengalaman untuk dikongsi.

"Buat masa ini, saya masih belum tahu secara terperinci tugas saya bersama MOM tetapi saya menganggapnya sebagai cabaran baru. Daripada segi masa, saya tidak berdepan masalah untuk menjalankan tugas. Saya juga memiliki beberapa perkara untuk dibincangkan sekiranya dipilih sebagai naib presiden MOM," kata Razeen.