Chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, secara peribadi akan turun padang di Filipina, 15 Oktober depan bagi memastikan undian membabitkan 10 jenis sukan diadakan secara telus demi mengelak insiden Sukan Asia 2018 daripada berulang.

Pendekatan itu bertujuan untuk mengelakkan sebarang kesilapan dan kekeliruan pendaftaran atlet dan pegawai membabitkan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) terhadap undian yang akan membabitkan sepak takraw, badminton, bola sepak lelaki dan wanita, bola tampar, perahu naga, hoki dalam dewan, polo air, floorball, bola baling pantai dan hoki dalam air.

Tahun lalu di Jakarta, sekretariat Malaysia dikritik hebat berikutan tiada seorang pun pegawai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menghadiri majlis undian temasya itu sehingga mengakibatkan skuad sepak takraw negara bertanding dalam acara yang salah.

"Selepas berbincang dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, maka yang terbaik bagi saya dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib, ialah menyaksikan sendiri undian 10 sukan ini.

"Kalau ada sebarang bantahan, kami akan bertindak balas dengan serta-merta," katanya dalam Mesyuarat MOM di ibu kota, hari ini.

Dalam masa sama, menjelang 66 hari lagi temasya edisi ke-30 itu, sasaran pingat emas kontinjen Malaysia dijangka akan diketahui selepas berakhirnya Bengkel Penyelarasan Sasaran yang membabitkan semua persatuan sukan pada 6 November depan.

"Mungkin akan ada atlet baru yang tidak disasarkan pingat (dalam semua jenis sukan) menonjol (dalam masa terdekat).

"Untuk bersikap adil, elok pengumuman (dibuat) ketika temasya semakin hampir supaya kami mendapat angka yang realistik," tambahnya.