Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, mendakwa Jawatankuasa Pengurusan Krisis terpaksa ditubuhkan ekoran pergolakan persatuan sukan kebangsaan semakin meningkat sehingga mengundang persoalan mengenai kredibiliti Pesuruhjaya Sukan.

Jawatankuasa pengurusan krisis MOM akan diwujudkan dalam masa terdekat sebagai orang tengah untuk mencari jalan penyelesaian susulan pergolakan yang melanda Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF) dan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) sehingga menjejaskan program latihan serta kejohanan atlet.

Namun, adakah penubuhan jawatankuasa itu akan bertindih dengan tugas Pesuruhjaya Sukan?

"Kami telah berbincang mengenai perkara itu dan kita semua bersetuju bahawa perkara itu (jawatankuasa) perlu dilaksanakan. Datuk Nazif (Mohd Nazifuddin Najib) akan berhubung dengan mereka.

“MOM yang akan wujudkan jawatankuasa itu dalam masa terdekat,” katanya

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih belum melantik Pesuruhjaya Sukan baru selepas Datuk Zaiton Othman bersara bulan lalu.

Jawatan yang yang diwujudkan pada 1998 itu pernah dilanda beberapa isu terutama kelewatan menyelesaikan kemelut dalaman persatuan sukan kebangsaan.

"Kami tidak mahu ada persatuan yang bermasalah jumpa MOM, selepas itu pergi ke peringkat kementerian dan kemudian ada juga sampai ke peringkat menteri," tambahnya.

"Pada saya, kita semua sebagai pemegang taruh sepatutnya duduk bersama dan melihat perkara ini dengan cara yang membolehkan setiap orang membuat keputusan bersama."

Sementara itu, Malaysia kehilangan satu pingat emas Sukan SEA Filipina apabila penganjur menggugurkan acara 10km renang terbuka lelaki dan menggantikannya dengan saingan wanita.

“Kami baru menerima surat dan akan mengadakan perbincangan dengan NSA, selepas itu kami akan memberikan maklum balas. Untuk sukan akuatik, kami dapat tahu ada negara akan menghantar protes, namun kami akan berbincang dengan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengenai perkara tersebut," ujar Norza.

“Ini kerana ia melibatkan perubahan pada saat akhir yang turut membabitkan persediaan atlet sedia ada,” katanya

Untuk rekod, dua perenang negara, Kevin Yeap Soon Choy dan Heidi Gan, menyumbang emas kelima dan keenam untuk Malaysia masing-masing dalam acara renang terbuka 10 kilometer (km) kategori lelaki serta wanita ketika Sukan SEA 2017.

Sebelum ini, Malaysia sah kehilangan 70 pingat emas, iaitu separuh daripada pungutan emas ketika muncul juara Sukan SEA 2017, gara-gara beberapa sukan yang menjadi lubuk emas negara tidak dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu di Filipina.