Pengarah Teknikal Futsal Kebangsaan, Chiew Chun Yong, melabelkan bekas jurulatih futsal wanita negara, Mohd Fairuz Mohd Noor, sebagai tidak sabar dan tiada rasa tanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya.

Insiden Fairuz meninggalkan skuad wanita kebangsaan tanpa sebarang notis, mencetus rasa kurang senang Chun Yong yang menganggap tindakan itu sebagai tidak profesional.

Hakikatnya, Fairuz merupakan pilihan utama yang dipertanggungjawabkan membimbing skuad futsal wanita negara, namun kegagalan Fairuz untuk berdiplomasi dengan keputusan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan kontraknya seolah-olah membunuh kariernya sendiri.

"Mereka akan ditawarkan kontrak jangka panjang tetapi mereka hanya perlu bersabar.

"Itulah perkara yang kami bincangkan tetapi hanya jurulatih yang komited dan memiliki kesabaran akan dianugerahkan kontrak jangka panjang," jelas Chun Yong.

Keputusan Fairuz mengecewakan semua pihak, termasuk skuad wanita kendaliannya sendiri, namun itu bukan alasan untuk menggugat persediaan menjelang Sukan SEA 2017.

Malah, beberapa calon pengganti telah dikenal pasti, termasuk penolong jurulatih, Muizzuddin Mohd Haris, yang dianggap sebagai calon terbaik menggantikan Fairuz.

Pertemuan dengan pihak pengurusan bagi menyelesaikan kemelut ini bakal berlangsung minggu hadapan sebelum satu keputusan dicapai dalam tempoh terdekat.

"Ia tidak akan menjejaskan persiapan skuad ke Sukan SEA 2017. Ketika ini, kami telah melihat kepada beberapa calon yang sesuai bagi membimbing skuad wanita.

"Ketika ini, kami ada Muizzudin Haris, yang ketika ini mengendalikan skuad wanita buat sementara waktu," tambah Chun Yong.