Bekas pemain golf negara, Shaaban Hussin, menebus kekecewaannya selepas terlibat dengan kemalangan yang hampir meragut nyawanya dengan mencurahkan segala pengalaman kepada atlet-atlet yang sedang meningkat naik.

Atlet negara berkerah tenaga bagi mencapai impian menjadi juara buat Malaysia. Ada kalanya itulah satu-satunya motivasi untuk meneruskan kehidupan.

Tanggal 31 Mac 2016, kehidupan Shaaban Hussin tidak lagi sama seperti biasa.

Sebagai seorang atlet dan pemain golf profesional, kecergasan fizikal adalah segala-galanya.

Namun, apa ertinya untuk menerus kehidupan apabila impian menjadi pemain golf terbaik antarabangsa berkecai setelah kaki kiri Shaaban terpaksa dipotong akibat kemalangan yang menimpanya.

"Pada 31 Mac 2016, saya telah terlibat dengan kemalangan di Lebuhraya Guthrie. Saya telah koma dalam dua hari dan kaki kiri sudah dipotong dan ia telah meranapkan impian saya untuk menjadi pemain golf terbaik di pentas antarabangsa," kata Shaaban.

Kejohanan Golf Amal Shaaban Hussin anjuran DRB-Hicom dengan usahasama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah membuat Shaaban meneruskan kehidupan dan membantu atlet-atlet muda untuk meningkat maju.

"Saya amat kecewa dengan apa yang telah berlaku kepada saya sehingga Datuk Seri Najib membuat pertandingan amal untuk meningkatkan semula semangat saya dan menyedarkan diri bahawa perjalanan saya seterusnya adalah membantu atlet-atlet muda golf negara.

"Selepas apa yang menimpa saya, saya mulai mengenali diri saya bahawa saya mudah untuk berkomunikasi dengan golongan-golongan muda. Ia membenarkan diri saya untuk berkongsi pengalaman menerusi program-program untuk mencungkil bakat-bakat baru."

Shaaban turut berharap atlet-atlet negara yang berjuang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur akan memberikan yang terbaik bagi membutirkan pingat emas.

"Saya berharap atlet-atlet yang beraksi dalam Sukan SEA mampu mengulangi kejayaan 2001 dengan membawa pulang pingat emas untuk negara."