Dwayne Miller kekal penting dalam struktur kejurulatihan olahraga negara apabila perlu melatih atlet jarak sederhana berbanding tugas utama sebagai pengendali acara riben biru.

Ia susulan tindakan jaguh pecut, Jonathan Nyepa mahu kembali ke pangkuan bekas jurulatihnya, M. Balamurugan, menjelang Kejohanan Tertutup Malaysia, bulan depan.

Miller kekal relevan sebagai jurulatih olahraga negara walaupun Khairul Hafiz Jantan, Mohd Haiqal Hanafi dan terbaru, Jonathan mengambil keputusan kembali ke pangkuan bekas jurulatih mereka.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meletakkan tujuh atlet dibawah jurulatih kelahiran Amerika Syarikat itu termasuk 4 pelari 400 meter dan seorang 800m.

Ia sesuai dengan kepakaran Miller yang pernah melahirkan pemenang emas 400m juara Sukan Olimpik 2008, LaShawn Merritt.

Lebih menarik, tindakan pelari pecut kembali ke pangkuan jurulatih asal mereka bakal meningkatkan persaingan dengan yang paling hampir Kejohanan Terbuka Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF), bermula Sabtu ini.