Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, terpaksa mengharapkan ihsan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menampung persiapannya untuk mempertahankan gelaran Mr. Asia dan Mr. Universe tahun ini.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu akan memulakan latihan penuh selepas sambutan Aidilfitri bagi mempertahankan kejayaan yang diraihnya di peringkat dunia dan Asia sejak beberapa tahun lalu.

Syarul atau lebih dikenali Mike memerlukan kira-kira RM40,000 bagi memburu gelaran kelima Mr Asia di China, September depan sebelum ke Korea Selatan bagi memburu gelaran Mr. Universe, November depan.

Walaupun sudah tiga kali menjuarai gelaran Mr. Universe secara berturut-turut, Mike masih perlu memohon elaun daripada MSN.

Ia kelihatan berbeza dengan atlet-atlet sukan teras yang berada dalam program kebangsaan walaupun tidak mendatangkan pulangan pingat buat negara.

"Buat masa ini, saya masih belum menerima sumbangan daripada mana-mana pihak.

"Saya pernah memohon elaun daripada pihak MSN, namun masih belum ada apa-apa lagi.

"Saya berharap MSN akan mempertimbangkan permintaan saya.

"Mereka banyak membantu atlet di dalam program kebangsaan, namun tidak buat atlet yang tiada dalam sukan teras.

"Saya harap mereka dapat membantu kami kerana kami juga membawa pulang pingat buat negara," katanya.