Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengesahkan sudah mempunyai calon baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan jurulatih skuad 15's negara sebelum ini, Lee Nyuk Fah, yang secara rasmi mengundurkan diri, semalam.

Mesyuarat exco yang berlangsung di ibu negara semalam menyaksikan KRM sebulat suara menawarkan jawatan ketua jurulatih 15's negara kepada pengarah teknikal pasukan, Brad Mika.

Mika merupakan bekas pemain New Zealand All Blacks dan menyandang jawatan pengarah teknikal Ragbi Malaysia sejak Februari 2017 selain dalam masa sama mengemudi pasukan ragbi Sabah.

KRM juga sudah pun berbincang dengan Kesatuan Ragbi Sabah bagi mendapatkan Mika secara sepenuh masa untuk berkhidmat dengan badan induk itu.

"Sabah bersetuju melepaskan Mika bagi tugasan peringkat kebangsaan," kata Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Dalam masa yang sama, KRM juga tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap pemain kebangsaan, Mark Lee, sebaliknya hanya mengeluarkan surat amaran kepadanya ekoran aduan secara terbukanya terhadap pengurusan skuad kebangsaan yang didakwanya tidak profesional.

KRM sedia menerima kembali Mark ke dalam kem kebangsaan jika pemain itu masih berminat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

"Bukan kami berhasrat untuk menyorokkan beberapa perkara. Tetapi kami rasa kami mempunyai satu prosedur dan ia dinyatakan dalam kontrak pemain bahawa apa-apa masalah yang timbul, mereka harus berkomunikasi dengan pengurusan persatuan," kata Shahrul Zaman lagi.