Timbalan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Micheal Wong, merancang untuk mengadakan pertemuan dengan semua ahli gabungan sebelum November depan untuk menerangkan isu dalaman membabitkan undi tidak percaya terhadap presiden persatuan itu, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin.

MASCA mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di Bukit Kiara untuk fokus terhadap isu penyertaan skuad kanu dan perahu naga yang sudah diluluskan untuk ke Sukan SEA Filipina, November depan.

Beberapa exco yang sebelum ini mencadangkan undi tidak percaya terhadap Megat Shahriman merancang untuk bertemu semua ahli gabungan bagi menerangkan kemelut yang sedang melanda badan induk itu.

"Apa yang sedang berlaku, saya rasa ini yang lebih penting.

"Cuma yang lebih kami tekankan hari ini ialah (mengenai) Sukan SEA dan Sukma (Sukan Malaysia)," katanya.

Apa yang pasti, segala tindakan MASCA itu tidak akan menjejaskan persiapan 32 atlet mereka untuk ke Filipina.

"Apa yang dibincangkan hari ini, exco sudah sebulat suara bersetuju bahawa isu penghantaran atlet ke Sukan SEA sudah selesai," kata Naib Presiden 1 MASCA, Raja Shahrul Azremel Raja Sahar.

"Apa yang kami telah daftarkan sebelum ini, itulah yang akan kami hantar."

Naib Presiden 2, Jaffry Zakaria, menambah: "Berkenaan perbelanjaan atlet, ia akan diputuskan oleh pengurus pasukan, iaitu Datuk Michael sendiri.

"Ia berkaitan dua pasukan, iaitu kayak dan perahu naga."