Sebastian Vettel percaya juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), iaitu legenda, Michael Schumacher, pasti berbangga dengan anak lelakinya, Mick, yang baru menyertai Akademi Pemandu Ferrari.

Sabtu lalu, Schumacher Jr menandatangani kontrak dengan pasukan yang membantu bapanya menjulang lima gelaran pemandu secara berturut-turut di antara 2000 hingga 2004.

Legenda berusia 50 tahun itu tidak tampil di khalayak ramai sejak mengalami kecederaan kepala dalam kemalangan ski pada Disember 2013.

Mick Schumacher, juara Formula 3 Eropah pada 2018 dan akan berlumba dalam Formula 2 tahun ini, meraih pujian ketika muncul sebagai sebahagian daripada pasukan pemandu Jerman itu dalam Kejohanan Perlumbaan Juara-Juara, hujung minggu lalu.

"Sudah tentu ia sesuatu yang istimewa untuk membentuk sebuah pasukan bersama Mick. Ketika saya memulakan perlumbaan dalam kancah Perlumbaan Juara-Juara, saya menonton aksi Michael dan kini saya dapat melakukannya bersama anaknya," kata Vettel, juara dunia F1 sebanyak empat kali itu dengan Red Bull di antara 2010 dan 2013.

"Saya yakin Michael pasti berasa sangat bangga dengan anaknya."

Pemandu Jerman itu menduduki tempat kedua di belakang Pasukan Nordic dan Mick Schumacher menambah: "Ia merupakan pengalaman dan sesuatu yang hebat untuk melakukannya di samping Sebastian.

"Sebastian berlumba dengan hebat dan saya pasti kami tidak akan mara sejauh ini tanpanya."