Kemelut mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) masih tidak berkesudahan apabila ia ditangguhkan hari ini.

Timbalan Presiden MPM, John Ng, berkata AGM bagi penggal 2019-2023 itu ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada kesemua 24 ahli gabungan MPM.

“Dalam mesyuarat hari ini, semua ahli gabungan telah bersetuju untuk menangguhkan AGM ini sementara mendapatkan tarikh baru yang akan dikemukakan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS).

“Kami akan mengadakan AGM baru bergantung permohonan kepada Pesuruhjaya Sukan. Selepas itu, kami akan mengikuti perlembagaan dan memulakan proses semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan AGM itu yang berlangsung secara harmoni selama dua jam di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini.

Berdasarkan perlembagaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh penangguhan, MPM perlu memanggil semua ahli gabungan untuk membincangkan tarikh baharu sebelum diserahkan kepada PJS.

“Mesyuarat exco akan dilangsungkan dalam tempoh 30 hari untuk memutuskan tarikh baru AGM,” katanya.

Ditanya mengenai status pencalonan bagi pemilihan ahli jawatankuasa eksekutif badan induk sukan para itu, John, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut.

Dalam mesyuarat yang berlangsung pada jam 10 pagi tadi, penyandang jawatan presiden, SM Nasaruddin SM Nasimuddin, tidak kelihatan.

Begitu juga dengan kedua-dua calon jawatan nombor satu MPM, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dan pencabarnya, Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin, tidak kelihatan.

Difahamkan, Megat Shahriman menghadiri pemilihan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) dan memenangi kerusi presiden persatuan itu.

Kerusi nombor satu MPM itu hangat diperbedatkan apabila Khairy di atas kapasitinya sebagai timbalan presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWFR), mencetuskan kontroversi apabila dikaitkan dengan menghantar borang pencalonan melebihi tempoh dibenarkan.

Perkara itu menyebabkan rasa tidak puas hati Megat Shahriman, yang menyerahkan sejumlah bukti kepada PJS bagi menyemak semula kelayakan bekas menteri belia dan sukan itu.

-- BERNAMA