Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) dan Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (Myskate) mengetepikan ego untuk memeterai perjanjian dalam pemburuan pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

MESA merupakan badan induk sukan ekstrem negara tetapi tidak mendapat sokongan komuniti papan selaju di bawah Myskate.

Perjanjian persefahaman semalam membolehkan Myskate memainkan peranan lebih besar dalam penyertaan atlet ke temasya dan kejohanan elit dunia.

Sehingga Sukan Asia Indonesia 2018, pengiktirafan dan pendaftaran pemain tertakluk di bawah bidang kuasa MESA.

"Acara papan selaju akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo dan MESA akan menghantar atlet beraksi dalam Sukan Asia bulan depan. Kami perlu meletakkan keutamaan untuk sukan ini ke peringkat lebih tinggi," kata Presiden MESA, Tan Sri Darshan Singh.

"Kami perlu meyakinkan komuniti serta strategi baru bagi meningkatkan lagi mutu sukan ekstrem di Malaysia," kata Presiden Myskate, Idroose Tambarin.