Jika sebelum ini nama Lana hanya dikenali sebagai valet kepada bekas Juara Amerika Syarikat WWE merangkap suaminya Rusev, kini bekas model, penari dan penghibur serba boleh ini diberi kepercayaan untuk bergelar bintang gusti wanita utama di jenama Smackdown Live.

Bermula pada 11 April lalu, Lana dan Rusev telah didrafkan ke Smackdown. Oleh kerana Rusev yang diuruskannya sedang dibelenggu kecederaan dan terpaksa berehat untuk beberapa ketika, Lana atau nama sebenarnya Catherine Joy Perry seakan hilang arah dan terumbang ambing tanpa peranan yang jelas.

Justeru, Lana mengambil inisiatif untuk mempertajamkan kembali kemahiran di dalam gelanggangnya dengan giat menjalani latihan intensif. Bukan itu sahaja, bintang jelita berusia 32 tahun ini turut membuat beberapa penampilan dengan bertarung di dalam gelanggang di beberapa acara siaran langsung NXT.



Ketika episod Smackdown Live bertarikh pada 7 Jun lepas, Lana muncul akhirnya dan berusaha untuk menjadi salah seorang peserta perlawanan bertangga Money In The Bank wanita pertama dalam sejarah di samping Charlotte Flair, Becky Lynch, Natalya, Carmella dan Tamina. Namun Lana gagal dalam usaha tersebut dan sebagai melahirkan tanda protes, Lana telah menyerang Juara Wanita Smackdown, Naomi dan mencabar bintang kelahiran Florida itu untuk mempertaruhkan kejuaraannya di acara Money In The Bank yang bersiaran secara langsung pada hari ini di saluran WWE Network.

Lonjakan secara mendadak terhadap Lana ini ternyata telah mengundang kritikan daripada pada peminat khususnya WWE Universe. Kebanyakan daripada mereka berpendapat yang ia terlalu awal kerana Lana disifatkan masih hijau dan belum punya banyak pengalaman sebagai seorang penggusti sepenuh masa.

Bagi mengulas isu ini, pihak Wrestling Observer melaporkan yang sebab utama mengapa Lana diberikan peranan utama adalah kerana WWE sedang mencari seorang bintang wanita yang mampu membawa imej seksi dan provokatif. Peranan yang sebelum ini ingin diberikan kepada Eva Marie. Namun Eva gagal menggalas tanggungjawab tersebut kerana digantung akibat penyalahgunaan ubatan terlarang. Perancangan ini sekali lagi terbantut apabila Eva memilih untuk tidak lagi menyambung kontrak bersama WWE pasca penggantungannya.



Usaha WWE diteruskan dengan tumpuan beralih kepada bintang Australia, Emma. Selama berminggu-minggu peminat dimomokkan dengan promo transformasi Emma kepada Emmalina, sebuah imej wanita yang amat menggoda dan mampu membuatkan asmara peminat laki-laki bergetaran. Malang sekali, Emma juga dikira tidak mampu membawa peranan ini dengan sempurna, membuatkan WWE bertukar fikiran dan Emma kembali ke watak asalnya.



Oleh itu, secara teknikalnya, Lana kini adalah jelmaan karakter Emmalina di Raw yang dibawa ke Smackdown, bagi mengisi kelompongan yang ditinggalkan Eva Marie.

Langkah ini agak ironi kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, WWE cuba memadamkan sejarah elemen seksi dalam divisyen wanita dengan tampil membawakan slogan ‘Revolusi Wanita’ yang lebih menumpukan kepada aksi hebat dalam gelanggang menyamai apa yang dibawa oleh para penggusti lelaki. Charlotte Flair, Becky Lynch, Sasha Banks dan Bayley yang diserap masuk dari NXT membuktikan yang penggusti wanita juga mampu menyinar dan berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan penggusti lelaki sehinggakan banyak perlawanan yang sebelum ini hanya dipersembahkan oleh penggusti lelaki, turut mampu mereka jayakan seperti perlawanan Sangkar Neraka, Manusia Waja, dan terkini perlawanan bertangga Money In The Bank.

Sebelum Revolusi Wanita ini tercetus pada tahun 2015, divisyen wanita WWE lebih kepada sekadar slot pengisi masa, sehingga ada yang melabel bahawa perlawanan wanita adalah masa untuk kita berehat seketika untuk ke tandas atau membancuh kopi. Sekitar penghujung 90an dan awal 2000 dulu pula, bintang wanita turut ditampilkan sebagai imej tarikan bersifat halwa mata semata-mata.

Nama-nama seperti Sunny, Sable, Debra, Torrie Wilson dan Stacy Kiebler (sekadar menyebut beberapa nama) amat ditunggu-tunggu bukan kerana aksi gusti mereka, sebaliknya kerana mereka sering muncul dengan imej yang amat seksi sehingga mampu menyeksa jiwa kita yang menontonnya.

Mujurlah dengan penukaran format TV14 kepada PG oleh WWE pada 2008, membuatkan para diva ini lebih sopan sesuai dengan konsep tontonan seisi keluarga. Jika tidak, pasti kita akan tersipu-sipu malu apabila menonton acara gusti apabila tiba-tiba ada babak yang tidak sepatutnya dan ibu bapa kita pula ada bersama. Terpaksa lah kita melajukannya atau berpura-pura memandang skrin telefon.

Persoalannya, adakah Lana akan kembali membawa karakter provokatif seperti era pra Revolusi? Jika benar, pastinya ia merupakan satu langkah terdesak oleh WWE yang kini dirundung masalah rating tontonan yang semakin menguncup dari minggu ke minggu dan tidak mustahil formula kejayaan yang digunakan semasa Era Attitude dan Perang Malam Isnin bersama Kejohanan Gusti Dunia (WCW) dulu akan digunakan kembali.

Anak mendiang Chris Benoit di acara WWE Live

David Benoit, anak kepada bintang lagenda kontroversi Chris Benoit, sekali lagi hadir di acara WWE Live Event yang berlangsung dari Edmonton, Alberta, Kanada semalam.

David yang merupakan anak sulung hasil perkahwinan pertama Benoit menetap di daerah Edmonton dan memang sering hadir ke acara WWE sejak beberapa tahun lalu. David mengambil kesempatan ini dengan bergambar kenang-kenangan bersama bintang WWE Kalisto dan bergaya di dalam gelanggang.

Walaupun secara sekali imbas, ini hanyalah sekadar berita biasa seorang peminat yang menghadiri acara WWE, namun yang menariknya di sini, figura David yang kini menganjak ke usia 24 tahun seakan saling tak tumpah seperti mendiang ayahnya. Bukan itu sahaja, David juga sejak beberapa tahun kebelakangan ini aktif bergusti secara profesional di beberapa sirkit bebas dan mengimpikan untuk menjadi bintang WWE satu hari nanti.

Untuk rekod, David sering berhubung dengan rakan baik mendiang bapanya iaitu Chris Jericho. Y2J sendiri tanpa berselindung mengatakan yang beliau sering memberi nasihat dan panduan kepada David dalam usaha untuk menjadi seorang penggusti yang berjaya.

Cuma laluan sukar menanti David natijah daripada apa yang telah dilakukan oleh mendiang bapanya. Pada tanggal 25 Jun 2007, Chris telah ditemui mati membunuh diri selepas membunuh isteri keduanya, Nancy dan anak lelaki mereka Daniel yang baru berusia 7 tahun ketika itu. Punca kematian dikatakan berpunca daripada ketidakbolehan Benoit yang tidak boleh lagi berfikir secara rasional akibat hentakan di kepala selama bertahun-tahun dan pengambilan ubat penahan sakit yang keterlaluan.



Insiden tersebut amat mengecewakan WWE. Bagi menjaga imej korporat mereka, WWE mengambil keputusan untuk memadam terus nama Chris Benoit daripada sejarah syarikat mereka, walaupun mendiang merupakan bintang yang amat cemerlang sehingga berjaya menggondol Kejuaraan Heavyweight Dunia pada 2004. Bukan itu sahaja, Benoit turut dinamakan sebagai antara penggusti teknikal terbaik dalam sejarah gusti profesional.



Pengerusi WWE, Vince McMahon yang ketika itu sedang terlibat dengan jalan cerita mati dalam letupan kereta, terpaksa “bangkit semula dari kubur” untuk memberi kenyataan rasmi tentang perkara ini dan mengumumkan yang WWE tidak sekali-kali akan menyebut nama Benoit dalam mana-mana program WWE selepas itu.



Semoga usaha David untuk meneruskan legasi Benoit dalam bergelar penggusti hebat tidak terbantut hanya kerana natijah negatif yang dibawa bapanya dulu.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro On-the-Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.