Penembak negara, Eddy Chew, menebus kekecewaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan disisihkan daripada Sukan Komanwel Gold Coast menerusi kejayaan merangkul pingat gangsa Kejohanan Menembak Universiti Dunia di Lapang Sasar Subang, hari ini.

Eddy gagal menyerlah dalam temasya KL2017 selepas gagal menuai sebarang pingat dalam acara yang disertainya.

Ia membawa kepada penggugurannya daripada program skuad kebangsaan dan secara tidak langsung terlepas dua temasya besar tahun ini, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Begitupun, Eddy mempamerkan kebangkitan apabila meraih gangsa dalam acara 10m air pistol dengan pungutan 217.8 mata.

Emas dimenangi penembak Itali, Dario Di Martino, manakala perak milik peserta China, Guoxuan Sun.

"Saya sangat gembira meraih gangsa selepas gagal merakamkan kejayaan dalam Sukan SEA tahun lalu," kata Eddy.

Bagaimanapun, dalam acara berpasukan 50m pistol, Malaysia sekadar menduduki tempat kelima selepas melakar gangsa di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat tahun lalu.