Saingan Trofi Tun Hanif menjadi kejohanan terakhir buat penembak negara, Ezuan Nasir Khan, untuk menempah tiket ke Sukan SEA Filipina selepas melalui dua ujian sepanjang tahun ini.

Sebelum ini, dia sudah melalui dua kejohanan yang juga jadi medan pemilihan ke Sukan SEA.

Kejohanan Asia Tenggara yang berlangsung di Jakarta, bulan lalu menyaksikan penembak kelahiran Kuala Lumpur itu meraih beberapa pingat, termasuk emas acara 50 meter rifle prone berpasukan lelaki, perak acara 10m air rifle berpasukan lelaki dan 10m air rifle campuran, selain menamatkan acara 10m air rifle individu di tempat kelapan.

Dalam Kejohanan Menembak Terbuka Selangor, Julai lalu yang menjadi aksi sulungnya sepanjang tahun ini, dia merangkul tiga emas.

"Kami sudah lebih setahun tidak beraksi dalam kejohanan peringkat antarabangsa dan saya akur agak terkejut tetapi tiada sebarang masalah. Saya masih boleh menembak dan kekalkan kutipan mata, cuma saya perlukan banyak kejohanan di pentas antarabangsa," katanya.

Fokusnya kini terarah kepada Trofi Tun Hanif di Kuching, Sarawak yang akan menjadi medan terakhirnya merebut slot mewakili Malaysia ke Filipina.

"Senarai pendek masih belum dikeluarkan, kami belum diberitahu sebarang perkembangan. Mungkin kami akan dapat tahu selepas saingan di Sarawak sebelum mempersiapkan diri ke Sukan SEA," ujarnya.