Ketiadaan sebarang kejohanan antarabangsa sepanjang tempoh fasa persediaan menjadi antara faktor penyumbang kepada kegagalan skuad menembak kebangsaan meraih keputusan cemerlang dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia yang berakhir semalam.

Penembak negara, Johnathan Wong Guanjie, berkata pendedahan menyertai pertandingan antarabangsa amat penting untuk membantu menyesuaikan diri dengan mudah dan cepat pada pertandingan sebenar.

Beliau berkata selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) berakhir Ogos tahun lalu, tiada sebarang kejohanan antarabangsa disertainya dalam mempersiapkan diri menghadapi Sukan Komanwel 2018.

“Sebelum ini, tiada sebarang pertandingan di luar, pertandingan dalam negara juga kurang, cuma semasa latihan kita buat segala persiapan dengan baik.

"Namun, dari segi merasakan suasana bertanding itu kita tidak dapat, kerana ‘suasana’ berlatih dengan ‘suasana’ semasa pertandingan sangat berbeza.

"Saya rasakan prestasi saya sewaktu latihan agak bagus tetapi dalam Sukan Komanwel, dengan tekanan serta harapan diletakkan di bahu saya, ia satu keadaan yang sukar buat saya.

"Dengan ketiadaan pertandingan di luar, ia menjadi satu situasi yang susah untuk saya menyesuaikan diri,” katanya.

Johnathan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama-sama skuad menembak negara dari Gold Coast, hari ini.

Mengulas mengenai prestasinya di Gold Coast, Johnathan menyifatkan aksi hambar dalam acara 10 meter air pistol sebagai satu episod pahit bagi dirinya, namun berpuas hati apabila berjaya mencipta kejutan mara ke final acara 50m pistol individu lelaki.

“Kalau tengok acara 10m air pistol, memang agak mengecewakan tetapi saya sudah cuba untuk memperbaiki dan menebus kegagalan itu dalam acara 50m pistol. Saya berpuas hati kerana 50m bukan acara yang saya sasar ditambah dengan kekurangan latihan sebab fokus utama acara 10m,” katanya.

Atlet kelahiran Melaka itu sekadar menamatkan saingan 10m air pistol di kedudukan kelapan dengan mengumpul 112 mata, sedangkan ketika layak ke pusingan akhir, dia selesa menduduki tempat ketiga daripada 24 penembak.

Pingat emas acara itu dimenangi penembak India, Jitu Rai, selepas membidik 235.1 mata dan rakan sepasukannya, Om Mitharval, memenangi gangsa apabila mengumpul 214.3 mata manakala penembak Australia, Kerry Bell, meraih perak dengan catatan 233.5 mata.

-- BERNAMA