Penembak wanita negara, Nur Suryani Mohd Taibi, mempunyai misi peribadi untuk mengekori jejak langkah Jonathan Wong dan Alia Sazana Azahari ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tatkala statusnya ke Sukan SEA Filipina masih samar.

Tumpuan Suryani lebih terarah kepada saingan kelayakan Olimpik 2020 di Doha, November depan sebelum bermulanya Sukan SEA Filipina.

Ia susulan Suryani hanya dimaklumkan bahawa namanya berada dalam senarai panjang yang akan ke Filipina dalam acara 50 meter rifle prone.

Dengan tempoh kurang 100 hari menjelang Sukan SEA, penembak berusia 36 tahun itu masih belum mengetahui statusnya sama ada namanya disenarai pendek ke temasya dwitahunan itu selain kedudukannya dalam kategori A, B ataupun C.

Bagaimanapun, Suryani akan tetap melakukan persiapan seperti biasa tanpa meletakkan perkara itu sebagai penghalang buatnya dalam meningkatkan prestasi.

Untuk perkembangan lanjut, ikuti Nadi Arena 5.30 petang dan 11 malam ini.