Skuad menembak menamatkan saingan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dengan cemerlang selepas menepati sasaran empat emas.

Empat pingat itu diraih menerusi Benjamin Khor dalam saingan double trap, Alia Sazana Azahari (25 meter air pistol), Ezuan Nasir Khan (50 meter rifle prone) dan Johnathan Wong (10 meter air pistol).

Bagi penolong ketua jurulatih menembak, Mohd Sabki Mohd Din, kehadiran barisan jurulatih dari Korea Selatan yang diketuai Park Sang-Soon turut membantu kejayaan skuad menembak negara.

Kini misi seterusnya adalah untuk memastikan lebih ramai atlet menembak negara berjaya ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Johnathan pertama kali bersama jurulatih Korea Selatan, jadi kami nampak ada peningkatan ketara daripada segi teknik dan psikologi," kata Sabki.

"Ini pencapaian yang agak baik. Sebenarnya, kami mampu meraih lebih lagi pingat ema, tetapi memadai untuk kami mencapai sasaran empat pingat emas.

"Saya harap kami akan bangkit lebih baik kerana tahun depan akan bermula kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020."

Sabki juga tiada rungutan mengenai prestasi atlet menembak seperti Nur Suryani Mohd Taibi dan Eddy Chew walaupun gagal meraih emas kali ini.

"Eddie agak gugup tetapi dia menonjol dalam pertandingan kebangsaan dan di Korea. Mungkin kerana dia berdepan tekanan," tambahnya.

Hari terakhir acara menembak semalam menyaksikan pingat terakhir negara diraih Bernard Yeoh Cheng Han dalam saingan double trap.

Bernard meraih perak dengan hanya ketinggalan dua mata di belakang penembak Thailand, Pha Chon Yut Todchai, yang meraih 44 mata untuk emas manakala gangsa diraih penembak Singapura, Mohd Zain Amat.

"Pertandingan lebih kepada pertandingan solo. Kamu bukannya bertanding dengan orang lain secara langsung.

"Saya berasa tenang sepanjang pertandingan tetapi saya melakukan dua kesilapan kecil," katanya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.